PORT DICKSON: Kerajaan akan cuba membayar bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Belanjawan 2012 pada Disember ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pembayaran lebih awal itu bertujuan meringankan beban ibu bapa sebelum musim persekolahan tahun depan bermula.Katanya, kerajaan pada mulanya hendak membayar pada Januari depan, tetapi Perdana Menteri yang ditemui kelmarin bersetuju memberi kelonggaran kerana bantuan itu dapat membantu ibu bapa membeli pelbagai kelengkapan sekolah.
“Kementerian Pelajaran dan Kewangan akan berusaha sebaik mungkin merealisasikan pembayaran lebih awal kepada kira-kira 5.3 juta pelajar,” katanya selepas majlis penyerahan dokumen hak milik di Kampung Paya dekat sini, semalam.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bantuan kepada setiap pelajar membabitkan perbelanjaan lebih RM500 juta.
Mengulas mekanisme pembayaran, katanya pemberian wang secara tunai itu dibuat melalui setiap sekolah di bawah Kementerian Pelajaran dan tidak membabitkan sekolah persendirian atau swasta.
Sementara itu, katanya kerajaan mempertimbangkan untuk mencari beberapa negara lain bagi memenuhi keperluan pembantu rumah di negara ini, selain mungkin memperkenalkan program latihan untuk rakyat tempatan untuk bekerja di sektor itu.
“Ada banyak kemungkinan untuk memenuhi permintaan itu, kita tunggu dan lihat,” katanya ketika mengulas keputusan kerajaan Kemboja melarang penghantaran pembantu rumah dari negara itu ke negara ini yang dikatakan menghadapi penderaan, termasuk dipukul dan dirogol.
Beliau berkata, kerajaan memahami bahawa pembantu rumah sangat penting dalam sesetengah keluarga, tetapi pengharaman penghantaran pembantu rumah Indonesia ke negara ini juga belum diselesaikan, tetapi yakin dapat dileraikan atas semangat ASEAN.
Sumber: Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment