Friday 23 August 2013

Sambutan Aidilfitri 2013

Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri 2013 telah diadakan di SKAT pada hari Khamis 22 Ogos 2013. Sambutan bermula jam 10.30 pagi dengan kehadiran murid-murid dan guru yang berpakaian hari raya yang berwarna warni. Majlis diadakan di Dewan SKAT dengan didahului oleh ucapan GPK Pentadbiran yang mewakili Tuan Guru Besar.

Acara sambutan diteruskan dengan persembahan oleh murid-murid yang menyampaikan lagu-lagu raya dan pertunjukan fesyen busana Aidilfitri. Sebelum itu majlis jamuan kuih yang dibawa oleh murid-murid raya telah diadakan berhampiran dataran perhimpunan. Majlis sambutan Aidilfitri diakhiri dengan jamuan nasi minyak yang dimasak sendiri oleh guru-guru secara bergotong royong.











Sunday 4 August 2013

Sunnah Rasulullah Pada Hari Raya

Aidilfitri merupakan hari yang ditunggui oleh umat Islam di seluruh pelosok dunia. Kehadirannya dianggap suatu kemenangan, setelah di bulan Ramadhan, kewajipan berpuasa bagi umat Islam yang baligh dan berakal selesai dilaksanakan. Selepas mengharungi getir menahan diri daripada lapar dan dahaga serta segala pantang larang RAMADHAN, umat Islam pada hari pertama SYAWAL DIHARAMKAN BERPUASA, malah diarahkan bergembira – dengan memakai pakaian yang indah, menggunakan haruman yang semerbak wanginya dan diperintahkan berkumpul dengan membesarkan ALLAH dengan takbir, tahmid dan tahlilnya semata-mata bagi mensyukuri pengembalian kepada fitrah secara beramai-ramai. 

Ya, kerana kalimah FITRI itu sendiri bermaksud FITRAH, iaitu dengan kejayaan seorang muslim selama sebulan menempuh tarbiah RAMADHAN yang akhirnya mengembalikan dirinya kepada fitrah sebenar di mana fitrah asal sebenarnya adalah suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada noda dan dosa. FITRAH yang membawa pengertian akan kejernihan hati, selepas sebulan membersihkannya daripada dosa dan mazmumah kemudian menyuburkannya dengan amalan-amalan rohani. Maka sesungguhnyalah Aidilfitri adalah hari dimana ganjaran bagi mereka yang benar-benar beramal di bulan RAMADHAN mendapat jolokan AL-JAIZAH, iaitu hari mendapat ganjaran.

Bertakbir
Perkara pertama yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah sebaik diketahui tarikh hari raya adalah bertakbir. Waktunya bermula sebaik terbenamnya matahari sehingga imam datang untuk memulakan solat pada hari raya. Umat Islam disunatkan memperbanyakkan bacaan takbir untuk menzahirkan rasa syukur pada ALLAH yang maha ESA. Sesuai dengan firman ALLAH yang bermaksud:-

Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan RAMADHAN), supaya kamu membesarkan ALLAH (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk kepada kamu dan supaya kamu bersyukur”.

Digalakkan juga  bertakbir sepanjang perjalanan ke masjid, seperti lazimnya para sahabat melakukannya.

Lafaz ucapan di hari raya
Dinyatakan dalam sebuah hadis oleh al-Hafiz  Ibn Hajar Al-Asqalani seperti yang dinukilkan oleh Jubair bin Nufair r.a katanya:-

Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di Hari Raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain akan ayat TAQABBALULLAH MINNA WAMINKA (Semoga ALLAH menerima amalan kami dan amalan kamu)

Beribadat dan berdoa di Malam Aidilfitri
Kita telah biasa dengan rutin bangun sahur di bulan RAMADHAN. Tentu sekali pada pagi Raya kita sudah tidak perlu bersahur. Tetapi apalah susahnya, dengan kebiasaan bangun sebelum subuh itu kita langsungkan dengan bangkit sebelum subuh pada pagi raya ini, bukan dengan niat untuk menjamu selera tetapi tunduk SUJUD membesarkan ALLAH yang Maha Mencipta. Malam raya adalah salah satu malam yang doa diterima olehNya, maka manfaatkanlah waktu ini dengan memohon sebanyak-banyaknya permintaan. Malah kita juga digalakkan memperbanyakkan takbir sepanjang malam. Seperti sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud:

“Barang siapa yang  menghidupkan  malam Aidilfitri  dan  Aidiladha  dengan  amalan yang baik dan ikhlas  kerana  Allah, maka  tidak  akan mati  hatinya pada semua  hati-hati yang akan mati, iaitu  pada hari  kiamat"

PADA HARI RAYA
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Syafie:

Ali bin Abi Talib r.a pernah ditanya adakah HARUS mandi disetiap hari? Maka jawabnya TIDAK HARUS. Namun mandi yang diharuskan ialah mandi pada HARI JUMAAT, HARI ARAFAH, HARI RAYA AIDILFITRI DAN AIDILADHA”

Bersarapan juga  adalah sunnah di pagi raya. Caranya dengan memakan sedikit sebelum pergi menunaikan solat di masjid. Seperti hadis Rasulullah s.aw bermaksud
Rasulullah s.aw tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi aidilfitri sebelum memakan beberapa biji buah kurma”
Lihatlah betapa indahnya Islam, hanya dengan bersarapan di pagi raya sudah diberikan ganjaran pahala. Subhanallah!

Berpakaian indah
Perlu diingatkan  bahawa  islam  tidak  pernah  mengajar  umatnya berlebih-lebihan atau melampaui batasan  dalam  menyambut apa  saja  perayaan. Ini  bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam  menyambut hari  raya seperti  boros berbelanja semata-mata untuk  bergaya  pada hari raya dengan pakaian  yang  mahal-mahal dan  kuih muih yang  terlalu  banyak. Imam  Syafie  di  dalam  kitabnya  berkata 

" Aku lebih  menyukai  seseorang memakai pakaian  terbaik  pernah  dimilikinya  pada hari  raya  iaitu  hari Jumaat,dua  hari  raya(aidilfitri  dan aidiladha)  dan  tempat diadakan majlis.Tetapi BERSEDERHANA  dalam  berpakaian.

Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat Hari Raya
Hadis Nabi  s.a.w:

"Tatkala  pergi  dan  balik  dari tempat  solat  hari  raya,Rasulullah sentiasa  pergi dan  balik  melalui jalan  yang berlainan."

Termasuk  sunnah iaitu  jika kita berjalan kaki  menuju ke tempat  solat. Tapi jika masjid agak jauh, naik  kereta  pun tiada masalah. Segeralah  ke  masjid  untuk  bertakbir  dan menunaikan solat  secara berjemaah. Pergi ke  masjid  dan  pulang  dengan  jalan  yang  berbeza. Lebih  afdhal pergi  dengan jarak  yang  lebih  jauh dari  jalan  pulang.

Hikmah berjalan jauh semasa pergi ini supaya bagi  membolehkan kita  bertegur sapa dengan jemaah yang lain dan mengucapkan  tahniah  sempena  kejayaan sepanjang ramadhan  dan  kedatangan hari raya. Selain  itu, ia  juga  bagi membanyakkan saksi atas ibadah  kita. Biar setiap  langkah  kita  di saksikan  sebagai  ibadah.

Membawa bersama Isteri dan anak-anak ke tempat solat Hari Raya
Ketika  melaksanakan  solat  hari  raya, Rasulullah s.a.w  sentiasa  membawa  isteri dan anak-anak Baginda  bersama.  Saidatina Aisyah r.a, mengisahkan: 

"Kami  disuruh  supaya keluar  dan  begitu juga dengan wanita  haid  pada  kedua-dua hari  raya  untuk mendapatkan  kebaikan  dan  doa-doa  orang islam.Walau bagaimanapun, wanita haid  duduk jauh daripada  tempat solat."

Menyegerakan pemberian zakat fitrah
Baginda  s.a.w akan  berpesan agar  kaum Muslimin  menyegerakan  pemberian zakat fitrah  kepada mereka  yang  berhak,manakala  bagi  solat  sunat  Aidiladha disegerakan supaya  umat  Islam  dapat  mempercepatkan  urusan  sembelihan korban.

Mengerjakan solat Aidilfitri dan mendengar khutbah
Marilah  sama-sama  kita  mengerjakan solat  Aidilfitri  secara berjemaah.Walaupun ianya  sunat  tetapi  ianya  hanyalah setahun sekali. Apalah kiranya  kita  meluangkan masa untuk menghadirkan  diri ke  masjid  untuk  tunduk menghadap yang  Maha Esa. Seeloknya setelah  selesai  solat, sama-samalah   kita mendengar  khutbah  sehingga selesai.

Puasa 6 hari pada bulan Syawal
Rasulullah  s.a.w bersabda:


"Sesiapa  yang berpuasa pada bulan Ramadhan  lalu  diiringi dengan  puasa  enam hari di bulan  syawal, seolah-olah dia  telah berpuasa setahun”