Sunday, 8 September 2013

Surat Terbuka Kepada Semua Calon UPSR 2013 Negeri Terengganu

Assalamualaikum  calon- calon UPSR
Anak - anak Terengganu Anjung Ilmu 2013

Apa khabar kalian ? Semoga semuanya sihat dan bersemangat. Tenang dan tenteram. Masa pertarungan yang dinanti sekian lama kian mampir. Usah gentar, usah takut. Ketakutan hanyalah ada pada jiwa sang pengecut. Kamukan bukan insan seperti itu . Tidak ! Kamu pahlawan dan harapan yang telah diasuh dan dilatih oleh para pendeta untuk pertarungan ini. Kamu dulu adalah manusia-manusia biasa yang naif dan kerdil. Kini kamu juga tetap manusia biasa TETAPI berjiwa,bersemangat dan berfikir luar biasa. Kamu bakal mencipta fenomena. UPSR Terengganu 2013 bakal gah menjulang jaya di persada negara...

Anak-anak kami yang berani,

Dipundakmu dibahumu negeri Terengganu Anjung Ilmu meletakkan harapan tinggi kepadamu. YAB Dato’ Seri Menteri Besar, YB Exco Pendidikan, Pengarah Pendidikan Negeri, Guru Besar, para gurumu, ibubapamu bahkan seluruh rakyat Terengganu menaruh yakin dan mengharapkanmu mengibar obor kehebatan anak Terengganu menjulang UPSR sebagai nombor 1. Insyaallah kami semua amat yakin dengan keupayaan dan kemampuanmu. Katakan, buktikan anak-anakku.

Anak-anak kami yang hebat,

Sebelum melangkah ke gelanggang pada 10,11 dan 12 September 2013 nanti ingin kami berpesan dan menitipkan beberapa petua agar selari pencak dengan rentaknya, selagu seirama  buah gurindamnya serta arif bijaksana mentafsir tipu muslihat persoalannya. Jangan mudah tertipu dengan gelojoh nafsu.

Pertama jangan alpa membaca Bismillah , kunci pembuka resah dan susah. Berkatnya tidak payah dicerita. Semoga dengan rahmat namaNya segala urusan bakal menjadi mudah dan sempurna. Namun ingat, sebelum turun ke gelanggang salami tangan ibuayah  yang dikasihi, salami tangan guru yang mendidik tanpa jemu. Mohon keampunan dan restu. Insyaallah doanya mustajab serasi dengan izin dan kehendak Ilahi. Mudah-mudahan pertarungan menjadi mudah, kejayaan menjadi milik kita dengan gah.

Anak-anak yang budiman,

Jangan sesekali bergopoh-gapah,resah-gelisah. Sediakan awal segala peralatan dan keperluan. Syaitan sentiasa mahu kita lalai dan kucundang. Justru lawan syaitan itu dengan ketenangan dan kebijaksanaan. Teliti soalan dan jawapan dengan minda sejati dan pandangan mata hati bukannya gopoh-gapah membuta –tuli. Biar nampak mudah namun sabar,jangan terpesona godaan syaitan madah berhelah. Insyaallah dengan “ketenangan dan kesabaran” yang kusut dapat dilerai, yang sukar dapat diungkai. Yakin dengan diri. Jangan lalai zikir Rabbi jangan lupa selawat Nabi. Insyaallah kejayaan bakal menjadi milik kita nan abadi

Anak-anak yang bijaksana,

Sesudah selesai sesuatu pertarungan dan didapati ada berlaku sedikit kesilapan tingkah dan langkah, jangan sesal dan gunda-gelana. Jangan terbuai dalam lamunan emosi hingga hilang fokus dan kosentrasi. Kesilapan kecil bukanlah pembunuh kepada kemaraan perjuangan yang lebih besar. Tumpukan segala daya dan tenaga untuk memenangi dan menguasai pertarungan seterus nya. Jadikan kesilapan yang ada itu guru untuk mengajar kita supaya bijaksana,sabar dan teliti. Ingat orang yang bijaksana itu , “ Apa yang diusaha dan dicapai hari ini lebih baik dari semalam dan apa yang diusaha dan dicapai besok lebih baik dari hari ini “. Orang bijaksana tidak hanyut dibuai emosi, orang bijaksana cekap dan tega mengawal situasi.

Anak-anak pewaris bangsa,

Jangan sesekali memandang enteng pertarungan ini. Pertarungan UPSR ini adalah yang pertama dan terakhir. Tiada lagi pertandingan ulangan sama ada menang atau kecundang. Tidak ada. Oleh itu guna peluang ini sebaik mungkin. Jangan undur dan mengaku kalah. Kamu adalah sang juara terhebat. Harapan untuk membawa obor amanah dan maruah diri,keluarga,bangsa,agama dan negara pada masa depan. Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Mara dan bermacam lagi sekolah hebat sedang menunggu kamu. Orang inginkan kehebatan perlu berhijrah,perlu berubah, perlu transformasi. Kamu adalah permata kami yang perlu dicanai di sekolah-sekolah hebat ini agar gemerlap menyinari semesta tamaddun bangsa pada masa depan . Jangan lepas peluang ini. Orang yang paling malang melihat sahaja peluang berlalu dan hanya menangis penuh penyesalan selepas itu. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna...

Rebut,rebut,rebut dan rebutlah.

Anak-anak yang bersemangat waja,

Katakan kepada dirimu sendiri..
Jika ada 1,000 manusia yang beroleh 5A UPSR 2013
Akulah salah seorang daripadanya….

Jika ada 100 manusia yang beroleh 5A UPSR 2013
Katakan kepada dirimu sendiri..
Akulah  salah seorang daripadanya…

Jika ada 10 manusia yang beroleh 5A UPSR 2013
Katakan kepada dirimu sendiri…
Akulah salah seorang daripadanya…

Jika ada 1 sahaja manusia yang beroleh 5A UPSR 2013
Katakan kepada dirimu sendiri..
AKUlah itu….

Anak-anak kami yang kami kasih kami doakan…

Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Berikah anak-anak kami yang bakal menduduki UPSR
Kekuatan minda, jiwa, rohani dan spiritual,
Campak ke dalam hati mereka  ketenangan dan keberanian..

Ya Allah Ya Rahim
Dengan sifat penyayang dan pengasihMU
Berikan kesihatan yang mantap serta terhindar dari
Segala penyakit dan musibah sepanjang
Menduduki ujian UPSR ini…
Lapang dan permudahkanlah urusan mereka
menghadapi ujian ini agar nanti bakal
menjadi anak-anak pintar soleh mengenang budi
serta pendokong ummah dan agamaMu
dipersada dunia dengan  cemerlang dan terbilang.

Ya Allah…
Hanya kepadaMu kami memohon
Keampunan dan pertolongan
Amin….



Friday, 23 August 2013

Sambutan Aidilfitri 2013

Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri 2013 telah diadakan di SKAT pada hari Khamis 22 Ogos 2013. Sambutan bermula jam 10.30 pagi dengan kehadiran murid-murid dan guru yang berpakaian hari raya yang berwarna warni. Majlis diadakan di Dewan SKAT dengan didahului oleh ucapan GPK Pentadbiran yang mewakili Tuan Guru Besar.

Acara sambutan diteruskan dengan persembahan oleh murid-murid yang menyampaikan lagu-lagu raya dan pertunjukan fesyen busana Aidilfitri. Sebelum itu majlis jamuan kuih yang dibawa oleh murid-murid raya telah diadakan berhampiran dataran perhimpunan. Majlis sambutan Aidilfitri diakhiri dengan jamuan nasi minyak yang dimasak sendiri oleh guru-guru secara bergotong royong.











Sunday, 4 August 2013

Sunnah Rasulullah Pada Hari Raya

Aidilfitri merupakan hari yang ditunggui oleh umat Islam di seluruh pelosok dunia. Kehadirannya dianggap suatu kemenangan, setelah di bulan Ramadhan, kewajipan berpuasa bagi umat Islam yang baligh dan berakal selesai dilaksanakan. Selepas mengharungi getir menahan diri daripada lapar dan dahaga serta segala pantang larang RAMADHAN, umat Islam pada hari pertama SYAWAL DIHARAMKAN BERPUASA, malah diarahkan bergembira – dengan memakai pakaian yang indah, menggunakan haruman yang semerbak wanginya dan diperintahkan berkumpul dengan membesarkan ALLAH dengan takbir, tahmid dan tahlilnya semata-mata bagi mensyukuri pengembalian kepada fitrah secara beramai-ramai. 

Ya, kerana kalimah FITRI itu sendiri bermaksud FITRAH, iaitu dengan kejayaan seorang muslim selama sebulan menempuh tarbiah RAMADHAN yang akhirnya mengembalikan dirinya kepada fitrah sebenar di mana fitrah asal sebenarnya adalah suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada noda dan dosa. FITRAH yang membawa pengertian akan kejernihan hati, selepas sebulan membersihkannya daripada dosa dan mazmumah kemudian menyuburkannya dengan amalan-amalan rohani. Maka sesungguhnyalah Aidilfitri adalah hari dimana ganjaran bagi mereka yang benar-benar beramal di bulan RAMADHAN mendapat jolokan AL-JAIZAH, iaitu hari mendapat ganjaran.

Bertakbir
Perkara pertama yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah sebaik diketahui tarikh hari raya adalah bertakbir. Waktunya bermula sebaik terbenamnya matahari sehingga imam datang untuk memulakan solat pada hari raya. Umat Islam disunatkan memperbanyakkan bacaan takbir untuk menzahirkan rasa syukur pada ALLAH yang maha ESA. Sesuai dengan firman ALLAH yang bermaksud:-

Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan RAMADHAN), supaya kamu membesarkan ALLAH (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk kepada kamu dan supaya kamu bersyukur”.

Digalakkan juga  bertakbir sepanjang perjalanan ke masjid, seperti lazimnya para sahabat melakukannya.

Lafaz ucapan di hari raya
Dinyatakan dalam sebuah hadis oleh al-Hafiz  Ibn Hajar Al-Asqalani seperti yang dinukilkan oleh Jubair bin Nufair r.a katanya:-

Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di Hari Raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain akan ayat TAQABBALULLAH MINNA WAMINKA (Semoga ALLAH menerima amalan kami dan amalan kamu)

Beribadat dan berdoa di Malam Aidilfitri
Kita telah biasa dengan rutin bangun sahur di bulan RAMADHAN. Tentu sekali pada pagi Raya kita sudah tidak perlu bersahur. Tetapi apalah susahnya, dengan kebiasaan bangun sebelum subuh itu kita langsungkan dengan bangkit sebelum subuh pada pagi raya ini, bukan dengan niat untuk menjamu selera tetapi tunduk SUJUD membesarkan ALLAH yang Maha Mencipta. Malam raya adalah salah satu malam yang doa diterima olehNya, maka manfaatkanlah waktu ini dengan memohon sebanyak-banyaknya permintaan. Malah kita juga digalakkan memperbanyakkan takbir sepanjang malam. Seperti sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud:

“Barang siapa yang  menghidupkan  malam Aidilfitri  dan  Aidiladha  dengan  amalan yang baik dan ikhlas  kerana  Allah, maka  tidak  akan mati  hatinya pada semua  hati-hati yang akan mati, iaitu  pada hari  kiamat"

PADA HARI RAYA
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Syafie:

Ali bin Abi Talib r.a pernah ditanya adakah HARUS mandi disetiap hari? Maka jawabnya TIDAK HARUS. Namun mandi yang diharuskan ialah mandi pada HARI JUMAAT, HARI ARAFAH, HARI RAYA AIDILFITRI DAN AIDILADHA”

Bersarapan juga  adalah sunnah di pagi raya. Caranya dengan memakan sedikit sebelum pergi menunaikan solat di masjid. Seperti hadis Rasulullah s.aw bermaksud
Rasulullah s.aw tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi aidilfitri sebelum memakan beberapa biji buah kurma”
Lihatlah betapa indahnya Islam, hanya dengan bersarapan di pagi raya sudah diberikan ganjaran pahala. Subhanallah!

Berpakaian indah
Perlu diingatkan  bahawa  islam  tidak  pernah  mengajar  umatnya berlebih-lebihan atau melampaui batasan  dalam  menyambut apa  saja  perayaan. Ini  bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam  menyambut hari  raya seperti  boros berbelanja semata-mata untuk  bergaya  pada hari raya dengan pakaian  yang  mahal-mahal dan  kuih muih yang  terlalu  banyak. Imam  Syafie  di  dalam  kitabnya  berkata 

" Aku lebih  menyukai  seseorang memakai pakaian  terbaik  pernah  dimilikinya  pada hari  raya  iaitu  hari Jumaat,dua  hari  raya(aidilfitri  dan aidiladha)  dan  tempat diadakan majlis.Tetapi BERSEDERHANA  dalam  berpakaian.

Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat Hari Raya
Hadis Nabi  s.a.w:

"Tatkala  pergi  dan  balik  dari tempat  solat  hari  raya,Rasulullah sentiasa  pergi dan  balik  melalui jalan  yang berlainan."

Termasuk  sunnah iaitu  jika kita berjalan kaki  menuju ke tempat  solat. Tapi jika masjid agak jauh, naik  kereta  pun tiada masalah. Segeralah  ke  masjid  untuk  bertakbir  dan menunaikan solat  secara berjemaah. Pergi ke  masjid  dan  pulang  dengan  jalan  yang  berbeza. Lebih  afdhal pergi  dengan jarak  yang  lebih  jauh dari  jalan  pulang.

Hikmah berjalan jauh semasa pergi ini supaya bagi  membolehkan kita  bertegur sapa dengan jemaah yang lain dan mengucapkan  tahniah  sempena  kejayaan sepanjang ramadhan  dan  kedatangan hari raya. Selain  itu, ia  juga  bagi membanyakkan saksi atas ibadah  kita. Biar setiap  langkah  kita  di saksikan  sebagai  ibadah.

Membawa bersama Isteri dan anak-anak ke tempat solat Hari Raya
Ketika  melaksanakan  solat  hari  raya, Rasulullah s.a.w  sentiasa  membawa  isteri dan anak-anak Baginda  bersama.  Saidatina Aisyah r.a, mengisahkan: 

"Kami  disuruh  supaya keluar  dan  begitu juga dengan wanita  haid  pada  kedua-dua hari  raya  untuk mendapatkan  kebaikan  dan  doa-doa  orang islam.Walau bagaimanapun, wanita haid  duduk jauh daripada  tempat solat."

Menyegerakan pemberian zakat fitrah
Baginda  s.a.w akan  berpesan agar  kaum Muslimin  menyegerakan  pemberian zakat fitrah  kepada mereka  yang  berhak,manakala  bagi  solat  sunat  Aidiladha disegerakan supaya  umat  Islam  dapat  mempercepatkan  urusan  sembelihan korban.

Mengerjakan solat Aidilfitri dan mendengar khutbah
Marilah  sama-sama  kita  mengerjakan solat  Aidilfitri  secara berjemaah.Walaupun ianya  sunat  tetapi  ianya  hanyalah setahun sekali. Apalah kiranya  kita  meluangkan masa untuk menghadirkan  diri ke  masjid  untuk  tunduk menghadap yang  Maha Esa. Seeloknya setelah  selesai  solat, sama-samalah   kita mendengar  khutbah  sehingga selesai.

Puasa 6 hari pada bulan Syawal
Rasulullah  s.a.w bersabda:


"Sesiapa  yang berpuasa pada bulan Ramadhan  lalu  diiringi dengan  puasa  enam hari di bulan  syawal, seolah-olah dia  telah berpuasa setahun”

Tuesday, 25 June 2013

KARNIVAL BALAPAN DAN PADANG BAWAH 11 TAHUN MSSDKTS 2013


Pada 20 Jun 2013, SK Atas Tol telah menghantar wakil sekolah untuk menyertai Karnival  Balapan dan Padang Bawah 11 Tahun yang diadakan di Trek Olahraga SMK Sultan Sulaiman. Kejohanan ini telah berlangsung sehari pada hari Khamis.  SKAT telah menghantar penyertaan yang terdiri daripada 2 orang murid lelaki dan 2 orang murid perempuan. Acara yang disertai ialah acara 100m,  200m, 80m lari berpagar,  lompat jauh. Semua acara ini melibatkan penyertaan peserta lelaki dan perempuan.

Pasukan sekolah telah berjaya membawa pulang 3 pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 80m Lari Berpagar kategori lelaki, 2 pingat perak dalam acara 200m (P) dan lompat jauh (L), 1 pingat gangsa acara 100m(P) dan tempat keempat dalam acara lompat jauh (P).

Berikut adalah senarai peserta yang telah berjaya merangkul pingat pada karnival tersebut. 

1. Muhammad Aidil Hakimi b Saharudin pingat emas acara 100m & 200m
2. Muhammad Nizamuddin b Mohd Nasir pingat emas lari berpagar & perak bagi acara   lompat jauh
3. Tuan Nor Alisya bt Tn Norzali pingat perak 200m & gangsa 100m

Kesungguhan peserta dalam semua acara yang dipertandingkan amat dikagumi kerana telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kejayaan dan berjaya membawa pulang pingat dalam acara yang disertai. Tahniah kepada para pemenang.


Hasnita bt Mohammad
Setiausaha Sukan,
SK. Atas Tol,                           

Tuesday, 19 March 2013

Perhimpunan Hari Selasa









Perhimpunan mingguan yang kebiasaannya diadakan pada hari Ahad telah diadakan pada hari Selasa iaitu pada hari aktiviti kokurikulum. SKAT merintis percubaan ini pada 19 Mac 2013 bermula jam 7.45 pagi di mana semua murid tahap dua memakai uniform mengikut unit masing-masing. Menurut guru Penolong Kanan Kokurikulum, En. Abd. Razak Sa'ad perhimpunan ini akan diadakan secara bulanan iaitu pada minggu ketiga setiap bulan. Katanya lagi, walaupun terdapat sedikit kecacatan dan kekurangan pada perhimpunan kali pertama ini, ianya akan diperbaiki dari semasa ke semasa bagi menambahbaikkan lagi perjalanan majlis ini.

Wednesday, 20 February 2013

Kejohanan Merentas Desa


Kejohanan Merentas Desa SKAT 2013 telah diadakan pada 19 Februari 2013. Kejohanan yang disertai oleh semua murid itu dibahagikan kepada 4 kategori iaitu Lelaki & Perempuan Tahap 1 dan Lelaki & Perempuan Tahap 2. Semua peserta kejohanan telah dilepaskan oleh Tuan Guru Besar SKAT, Tn Hj Ismail Kassim tepat jam 9.45 pagi. Peserta tahap satu melalui perjalanan sejauh hampir 2km manakala peserta tahap dua 4km.

Rumah Hijau telah diumumkan sebagai johan keseluruhan bagi acara tersebut. Hadiah-hadiah kepada peserta telah disampaikan oleh Tuan Guru Besar SKAT.






haiii.....














Johan keseluruhan....


Monday, 11 February 2013

Majlis Pelantikan Pengawas

Majlis Pelantikan Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber telah diadakan pada hari Ahad, 3 Februari 2013. Majlis yang diadakan di Dewan SKAT telah disempurnakan oleh Tuan Guru Besar, Tn. Hj. Ismail bin Kassim. Seramai 42 orang pengawas sekolah dan 27 pengawas pusat sumber telah menerima watikah pelantikan masing-masing dalam majlis tersebut.